PAS – Walaupun Parti Islam Tetapi Tetap Parti Poltitk

Artikel yang aku tulis dalam tahun lepas, tapi masih relevan pada hari ini…..

“Saya sebenarnya tidak begitu berminat untuk membicarakan isu-isu politik, tetapi merasa terpanggil untuk meluahkan perasaan melalui penulisan ini, tentang isu yang melanda umat Islam dan Melayu, serta karenah parti-parti politik orang melayu dalam menghadapi isu-su sebegini.
Saya bukanlah ahli kepada mana-mana parti politik. Tetapi ketika pilihanraya, mood saya untuk mengundi adalah bergantung kepada isu-isu yang dibawa oleh calon-calon pilihanraya atau manifesto parti politik yang bertanding. Tetapi secara berterus terang, sebagai orang Islam sudah tentu jiwa saya lebih terarah kepada mana-mana parti politik yang berciri dan memperjuangkan Islam. Dan dalam konteks di Malaysia ini, sudah tentulah saya merujuk kepada PAS. Apa yang membezakan PAS dengan parti-parti politik yang berteraskan Melayu/Islam yang lain (UMNO / PKR) ialah keupayaan PAS untuk menonjolkan secara jelas prinsip-prinsip perjuangan mereka yang berpaksikan agama Islam secara tegas dan konsisten.
Tetapi itu mungkin 2 atau 3 tahun yang lepas. PAS bagi saya sekarang ini, terutama pasca pilihan raya umum yang ke-12 sudah mula menampakkan perubahan-perubahan dari segi prinsip perjuangan mereka, yang tidak pernah sama sekali saya fikirkan, akan berlaku. Sebelum ini saya menganggap PAS lebih kepada sebuah organisasi yang berusaha melalui politik, untuk menegakkan dan memperjuangkan sinar Islam di Malaysia ini, tetapi sekarang sudah berubah menjadi sebuah parti politik yang betul-betul tulen. Kenapa saya katakan begitu kerana saya melihat PAS sekarang sudah mula meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.
Sebagai contoh isu penggunaan kalimah Allah oleh sebuah penerbitan Kristian, mengapa begitu sukar sekali untuk pemimpin PAS ini mengatakan TIDAK kepada golongan-golongan Kristian ini, sedangkan kita semua sudah sedia maklum bahawa isu ini ditimbulkan hanyalah bertujuan untuk menguji reaksi orang Islam. Mereka membuat permohonan di mahkamah, dan jika keputusan muktamad nanti memihak kepada mereka, tidak ada keuntungan besar pun bagi pihak Kristian ini, dan jika kalah tidaklah mereka rugi apa-apa pun. Cuma mereka mungkin merasa gembira melihat betapa dalam isu mempertahankan kalimah Allah ini pun, orang Islam masih tidak dapat bersependapat. Yang peliknya di sini, pihak penerbitan Kristian ini hanya mengemukakan permohonan di mahkamah, tetapi yang menjadi ‘tentera’ yang memperjuangkan isu ini bagi pihak mereka adalah orang-orang Islam itu sendiri. Tak payah susah-susah, Khalid Samad dan Anwar Ibrahim ada untuk membantu mereka!
Pimpinan PAS pula semacam mengambil sikap lebih untuk menjaga hati orang bukan Islam (atau istilah yang selalu digunakan PAS ketika dulu ‘orang kafir’) apabila mengeluarkan kenyataan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah, dengan syarat kalimah itu tidak disalah gunakan. Sungguh lucu bagi saya! Bayangkan jika isu ini timbul ketika zaman 80’an dahulu, zaman di mana UMNO dikafirkan kerana berkerjasama dengan orang bukan Islam, sudah tentu reaksi PAS ketika itu tidak dapat kita bayangkan.
PAS, UMNO dan PKR ketiga-tiganya parti ini diwakili oleh orang Melayu beragama Islam. Tidak kira samada mereka memperjuangkan Islam, memperjuangkan agenda bangsa melayu, atau keadilan untuk semua, mereka tetap adalah parti politik. Yang mana sudah tentu segala yang dilakukan mereka adalah atas kepentingan politik mereka semata-mata.
Kesimpulannya bagi saya, parti politik adalah tetap parti politik. Tetapi kita sebagai orang yang berakal hendaklah bijak untuk melihat parti politik mana yang kurang berpolitik, dan itulah faktor yang perlu kita fikirkan sebelum kita membuat pilihan parti mana yang hendak kita sokong pada pilihan raya akan datang.”

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Hello world!

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!

Posted in Uncategorized | 1 Komen